LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE PERPUSTAKAAN RAJA TUN UDA


Saya tidak pernah pergi ke perpustakaan awam sebelum ini atas sebab-sebab tertentu dan salah satu daripadanya adalah kerana tiadanya kemudahan pengangkutan. Pada suatu hari, guru kelas 6 Sastera 2, Pn. Jolena ataupun lebih dikenali sebagai Pn. Joy memberi kami peluang untuk pergi ke perpustakaan awam yang terletak di Shah Alam. Itulah kali pertama saya mengetahui kewujudan Perpustakaan Awam Raja Tun Uda atau lebih dikenali sebagai Perpustakaan Raja Tun Uda. Dengan penuh keghairahan, saya melayari laman web untuk mendapatkan gambaran mengenai bagaimana perpustakaan kelihatan. Saya terkejut melihat semua imej yang dipapar dalam enjin pencarian. Saya terfikir bahawa ianya hanya gambar palsu kerana tidak hendak menaruh harapan yang tinggi terhadap persekitarannya kerana takut akan kekecewaan.

Minggu berikutnya, tibalah hari kami pergi ke perpustakaan tersebut. Apabila tiba di perpustakaan, pintu masuknya kelihatan sebiji seperti yang tertera di gambar ketika saya melayari laman web. Dengan begitu gembira, saya memasuki perpustakaan. Tidak banyak yang boleh dilihat dari meja informasi dimana kami dikehendaki untuk mengisi maklumat kami terlebih dahulu. Sejurus itu, kami dibenarkan untuk melawat bahagian kanak-kanak di bahagian kanan perpustakaan. Saya terkejut melihatnya. Bahagian tersebut memang dikhaskan secara sepenuhnya untuk kanak-kanak dengan buku cerita, permainan papan, stesen permainan dan banyak lagi. Kemudian kami diarahkan ke bahagian perpustakaan yang terletak di sebelah kiri. Lidah saya menjadi kelu kerana saya begitu terpegun melihat tempat tersebut.

Sumber: Gambar yang telah diambil oleh saya ketika lawatan tersebut menggunakan Samsung Champ Neo. 

Perpustakaan tersebut lengkap dengan teknologi terkini dan tidak melupakan pawagam 6D. Di samping itu, salah satu kemudahan yang terdapat di perpustakaan ini adalah, gimnasium dengan peralatan terkini yang boleh digunakan. Loker syiling juga disediakan bagi mereka untuk menyimpan beg mereka semasa melawat perpustakaan. Komputer dengan sambungan internet juga boleh disewakan untuk RM1 / jam. Perpustakaan ini menghadap ke tasik yang terletak tepat di sebelah bangunan dan pemandangannya begitu indah sekali.

Bagi keahliaan pula, penduduk Selangor boleh memohon keahlian PERCUMA dengan menggunakan MYKAD mereka. Setiap ahli boleh meminjam sehingga 3 buku selama 3 minggu. Yuran keahlian adalah RM20 / tahun. Orang boleh meminjam sehingga 3 CD / DVD selama 3 minggu. Aktiviti mingguan juga dijalankan bagi kesemua pelawat. Saya begitu menyukai perpustakaan tersebut sehingga saya akan sanggup untuk menghabiskan masa saya di situ sekiranya saya mempunyai kereta. Apabila tibanya masa untuk kami bertolak, saya berasa amat berat hati kerana ianya seakan saya berada di sebuah tempat yang ajaib. Bukan saya sahaja, malah kesemua rakan sekelas saya turut berasa sedih bahawa lawatan kami ke Perpustakaan Raja Tun Uda berakhir dengan begitu pantas sekali.

Sekian, terima kasih.

Comments